PENCERAIAN SECARA FASAKH



Apa itu Fasakh?
Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui pengadil (hakim). Fasakh hanya boleh dilakukan  oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya. Fasakh juga disebut sebagai pembubaran perkahwinan oleh Mahkamah.
Apa beza Fasakh dengan Talak?
Fasakh dengan talak adalah berbeza, fasakh ialah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya, manakala talak pula ialah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga). Fasakh berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau hal-hal yang berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim dari hukum asal, manakala talak pula ialah talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim. Selain itu, fasakh tidak mengurangkan bilangan talak yang dimiliki oleh suami, manakala talak mengurangkan bilangan talak.
Syarat mohon Fasakh?
Menurut Seksyen 53 (1), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam selangor 2003;
(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu
    (a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
    (b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
    (c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih; 
    (d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
    (e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
    (f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
    (g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
    (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—
      (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
      (ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
      (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
      (iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
      (v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
      (vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
    (i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
    (j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
    (k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
    (l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.   

    Kesimpulannya, Fasakh boleh dituntut di Mahkamah Syariah jika perkara-perkara dalam Seksyen 53(1) berlaku antara suami dan Isteri.


Comments