DUA MATLAMAT ILMU FARAID
Assalamualaikum, hari ini saya ingin kongsi berkaitan matlamat ilmu faraid.
Menjadi tanda tanya, kenapa Islam sangat menitik beratkan berkaitan pembahagian secara faraid. Lihat ayat 11,12 dan 76 surah al-Nisa, betapa teperincinya Allah SWT menetapkan pembahagian harta melalui faraid. Apa matlamatnya?
Matlamat ilmu faraid tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyelamatkan umat Islam daripada perbalahan ahli keluarga akibat kekeliruan dan tidak tahu menyelesaikan pembahagian harta orang mati. Cuba bayangkan jika tiada peraturan pembahagian harta?
Gambar-gambar diatas ini adalah akibat daripada ketidak patuhan kepada hukum faraid yang telah ditetapkan dalam Islam.
Selain mengelakkan pertikaian sesama waris, ilmu faraid bermatlamatkan menyelamatkan umat Islam daripada memakan harta secara batil iaitu harta ahli keluarga terdiri dari ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak, adik beradik yang berkemungkinan ada diantara mereka dari kumpulan anak-anak yatim. Begitu banyak ayat di dalam al-Quran berkaitan tegahan memakan harta secara batil dan tegahan memakan harta anak yatim yang keduanya mengundang kemurkaan Allah SWT dan akan mendapat azab yang pedih.
Kelalaian mengurus harta secara faraid akan menyebabkan manusia tergolong dalam dua golongan di atas. Kesilapan pembahagian mungkin dimaafkan sekiranya ahli-ahli waris telah mengambil kira dan faham berkaitan faraid. Namun kesilapan tidak boleh dimaafkan sekiranya ahli waris tiada usaha langsung untuk mengetahui dan menguruskan harta secara faraid.
Kesimpulannya, dua matlamat ilmu faraid yang dinyatakan adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam di atas muka bumi ini. Pembahagian faraid dipuji oleh sarjana-sarjana barat sendiri kerana tiada satu pun sistem pembahagian selepas mati menyerupai pembahagian faraid dalam Islam yang mengambil kira pelbagai aspek. Hairannya umat Islam sendiri tidak bangga dengan sistem dari langit ini.

Comments
Post a Comment